Sama-sama kita MEMBANTAH sekeras-kerasnya penubuhan Suruhanjaya Antara Kepercayaan @ Interfaith Commission (IFC)
 

Di antara Peruntukan-Peruntukan Dalam Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang dipertikaikan atas alasan mendiskriminasikan wanita adalah: 

 

Subseksyen 52(1):  Melanjutkan hak fasakh seorang isteri kepada suaminya

 

  • Hak untuk menuntut fasakh yang secara tradisinya merupakan hak isteri di bawah perundangan Islam diberikan juga kepada suami, sedangkan suami masih mempunyai hak untuk menceraikan isterinya.

 

  • Mereka berpendapat peruntukan ini perlu dikaji semula dengan terperinci memandangkan suami telah mempunyai kuasa penuh untuk menceraikan isteri.

ULASAN:

 

 

1.   Subseksyen 52(1) telah memasukkan selepas perkataan “perempuan” perkataan “atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan” menjadi subseksyen tersebut dibaca seperti yang berikut:

 

“(1)  Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berkahwin mengikut Hukum Syara’ adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas salah satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu (a) hingga (l)”

 

2.   Mengikut hukum Syara’, penceraian kerana khiyar (memilih salah satu antara dua kemungkinan, iaitu sama ada meneruskan perkahwinan atau memilih perceraian secara fasakh) juga diberikan kepada suami dalam keadaan keadaan yang berikut, iaitu apabila isteri:

 

(a)      berpenyakit gila;

(b)      berpenyakit kusta

(c)      berpenyakit sopak;

(d)      qarn (faraj isterinya tersumbat dengan daging);

(e)      ratq (faraj isterinya tersumbat dengan tulang).

 

3.   Lima jenis penyakit di atas menyebabkan suami mempunyai khiyar (pilihan) sama ada hendak meneruskan perkahwinan atau memilih perceraian secara fasakh sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ali, Umar dan Ibn Abbas.  Kalau faraj yang tersumbat itu boleh dihilangkan dengan operasi (pembedahan) atau pengubatan lainnya atau gila boleh disembuhkan sebelum dilakukan khiyar atau pihak suami sudah mengetahui dengan jelas terdapat aib (kecacatan) tersebut sebelum akad nikah, pihak suami tidak boleh melakukan khiyar.

 

4.   Terdapat banyak lagi keadaan-keadaan yang membolehkan suami isteri menuntut fasakh seperti yang dijelaskan di dalam Kitab ”Fiqh al-Islam Wa Adillatuh” oleh Dr. Wahbah Zuhaily, Jld. 8, Cetakan Ketiga, 1989, hal. 519 berdasarkan prinsip ”dharar”. Apa yang dimaksudkan sebagai ”dharar” ialah sesuatu perkara yang menyebabkan perkahwinan itu gagal mencapai tujuan asalnya, tanpa menghadkan kepada faktor-faktor di atas sahaja. Ini berdasarkan kepada pendapat Mazhab Hanbali. Ibnu Qayyim juga ada menyatakan bahawa: ”Buta, bisu, pekak, kudung kedua tangan dan kaki, terpotong salah satunya atau lelaki yang mempunyai cacat seperti itu, semuanya membawa kepada fasakh. Menyembunyikan cacat itu merupakan penipuan yang paling buruk”. (Rujuk Buku, Umar Ibn Khattab, keputusan hukum dan Fatwa-Fatwanya, karangan Abdul Aziz al-Halawi, terj. Drs, Syahrin Nasution). Oleh itu hak untuk fasakh bagi membubarkan sesuatu perkahwinan adalah diberi kepada kedua-dua suami atau isteri.

 

5.   Perlu dijelaskan bahawa kesan talak dan fasakh adalah berbeza dari segi hukum Syara’.  Sekiranya suami melafazkan talak, suami dikehendaki membayar nafkah eddah dan mutaah (pampasan atau saguhati). Ia juga menggambarkan kesilapan yang menyebabkan perceraian itu datang daripada suami.  Sebaliknya jika seseorang suami melaksanakan fasakh dengan membuat permohonan di Mahkamah dan permohonan tersebut diluluskan, suami hanya dikehendaki membayar mahar (mas kahwin) dan mutaah (pampasan/saguhati) sekiranya telah berlaku persetubuhan. Sekiranya fasakh diluluskan tanpa berlaku apa-apa persetubuhan, suami tidak dikehendaki membayar mahar dan mutaah.

 

6.   Tanpa peruntukan seperti ini, suami akan menghadapi kesulitan untuk membubarkan perkahwinan fasakh sedangkan hak untuk membubarkan perkahwinan melalui fasakh memang sedia terdapat dalam hukum Syara’. Mengikut pengalaman Hakim-Hakim Syarie yang mengendalikan kes-kes perceraian terutama Kuala Lumpur, terdapat kes-kes di mana suami telah dianiaya oleh  isteri seperti isteri melarikan diri dengan lelaki lain tanpa dapat dikesan. Sewajarnya dalam kes seperti ini pihak suami diberi hak membubarkan perkahwinan melalui fasakh. Ini adalah selaras dengan prinsip ”dharar” iaitu terdapat sesuatu perkara yang menghalang tujuan asal sesuatu perkahwinan dilangsungkan. Perlu juga ditekankan di sini bahawa proses perceraian melalui talak dan fasakh adalah berbeza. Seseorang suami boleh dengan mudah melafazkan sesuatu talak tanpa dikehendaki membuktikan sebab-sebab mengapa talak tersebut dilafazkan. Pembubaran perkahwinan melalui fasakh memerlukan suami membuktikan kepada Mahkamah dengan keterangan-keterangan yang kukuh bahawa terdapat alasan-alasan yang ditetapkan oleh hukum Syara’ bahawa fasakh berkenaan wajar dibenarkan oleh Mahkamah. Dengan itu ia memberi lebih memberi perlindungan kepada isteri kerana pembubaran perkahwinan melalui fasakh tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya. Sebaliknya beban untuk membuktikan bahawa sesuatu talak itu telah dilafaz dan sah mengikut hukum Syara’ adalah terletak kepada isteri. Walaupun kedua-dua suami atau isteri diberi hak untuk bercerai melalui fasakh, namun pihak isteri juga boleh mendapatkan perceraian melalui khuluk (tebus talak) dan taklik.

 

7.   Subseksyen ini merangkumi bersekali alasan-alasan bagi menuntut fasakh yang terpakai kepada seorang suami dan isteri. Mengikut hukum Syara’, terdapat alasan-alasan yang hanya terpakai untuk suami sahaja untuk melaksanakan hak khiyar. Walaupun perkataan yang digunakan dalam subseksyen 52 (1) ialah ”seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan,” iaitu, terdapat alasan-alasan bagi menuntut fasakh yang hanya terpakai kepada isteri atau suami sahaja, namun alasan-alasan yang membolehkan isteri atau suami memohon satu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh mungkin perlu diasingkan dan diperuntukkan melalui subseksyen yang berlainan bagi mengelakkan apa-apa kekeliruan.

 

qqçKembali Ke Halaman Utama


© 2006 puteraAlternatif87
e.mail : putera_alternatif87@yahoo.com