Sama-sama kita MEMBANTAH sekeras-kerasnya penubuhan Suruhanjaya Antara Kepercayaan @ Interfaith Commission (IFC)
  

KONTROVERSI BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH:

SATU PERSPEKTIF PERLEMBAGAAN*

 

 

Abdul Aziz Bari**

 

Abstrak

 

Kedudukan dan bidang kuasa mahkamah syariah sebenarnya tidak meragukan; apatahlagi selepas Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan fasal (1A) pada 1988. Tetapi ini tidak difahami oleh masyarakat termasuk anggota kerajaan sendiri. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila pihak media memberi ruang untuk memburukkan keadaan; terutamanya dengan memperjuangkan apa yang mereka anggap ancaman terhadap hak kebebasan beragama orang-orang bukan Islam di negara ini.

 

I. PENGENALAN

 

Kotroversi yang timbul ekoran kes Moorthy @ Mohamad Abdullah di mahkamah syariah itu berkisar tentang kedudukan dan bidangkuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Bagaimanapun ia melarat dan menyentuh banyak perkara; termasuk yang membabitkan kerangka dan kandungan perlembagaan. Kontroversi ini menarik kerana orang bukan Islam mempertikai kedudukan mahkamah syariah yang umumnya hanya menangani persoalan umat Islam. Ini jarang berlaku sebelum ini.

 

Dari satu sudut perbincangan atas mauduk-maudhuk itu agak ganjil kerana kita akan menyambut ulang tahun ke 50 perlembagaan dan kemerdekaan negara tahun depan: dalam usia sedemikan sepatutnya semua institusi dan amalan perlembagan sudah mantap dan diterima. Bagaimanapun dari sudut yang lain apa yang berlaku itu menunjukkan bahawa perlembagaan perlu terus menyesuaikan diri dengan perkembangan dan tuntutan semasa; sesuatu yang kita harus terima kerana itulah sifat masyarakat manusia sendiri.

 

Kontroversi berkenaan menjadi lebih panas dan membimbangkan kerana ia melibatkan isu hak kebebasan beragama yang secara kebetulan melibatkan kelompok yang paling tidak bernasib baik di dalam negara kita. Dengan kata lain ada aspek dan dimensi yang menyebabkan perbahasan ini berkait atau terpaksa dikaitkan dengan soal lain yang pada asasnya tidak bersangkut paut dengan kedudukan mahkamah syariah khususnya dan Islam umumnya.

  

II. PERKARA 121(1A) DAN PUNCA KONTROVERSI

 

Kontroversi yang timbul berpunca dari keputusan mahkamah sivil enggan menyemak keputusan mahkamah syariah berkenaan status dan kedudukan simati yakni Moorthy@ Mohamad Abdullah. Ini menyebabkan pihak-pihak yang berasa itu keputusan itu tidak adil mendakwa bahawa kedudukan mahkamah sivil telah lemah dan mahkamah syariah telah diberi kata putus dan mengatasi mahkamah sivil. Seterusnya mereka mahukan Perkara 121(1A) yang dijadikan oleh mahkamah sivil itu dipinda atau dimansuhkan.

 

Dakwaan bahawa mahkamah syariah mengatasi mahkamah sivil – yang dilihat membahayakan orang-orang bukan Islam - sebenarnya tidak tepat kerana Perkara 121(1A) menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas hal-hal yang terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah. Seperti yang termaklum bidang kuasa mahkamah syariah masih kecil dan terhad; sebagaimana yang tertera di bawah Akta Mahkamah Syariah 1965. seperti yang akan dihujahkan di bawah Perkara 121(1A) pada hakikatnya hanya menjelaskan bidang kuasa mahkamah syariah dan ia adalah selaras dengan peruntukan Akta berkenaan.

 

Sementara itu beberapa hari lalu sepuluh orang anggota cabinet yang bukan beragama Islam bermesyuarat dan meminta kerajaan membuat penjelasan mengenai persoalan pertukaran agama. Ini anih kerana mereka adalah anggota pentadbiran. Dari segi undang-undang perlembagaan tindakan tersebut salah kerana mereka tertakluk kepada prinsip tanggung jawab bersama: mereka tidak boleh mengambil pendirian yang berlawanan atau berbeza dengan kerajaan. Sepatutnya mereka meletakkan jawatan sebelum mengambil sikap itu. Perlu juga disebutkan bahawa ada di antara mereka yang meyokong pindaan yang memasukkan fasal (1A) ke dalam Perkara 121(1A) pada 1988 dahulu.

 

III. KEDUDUKAN ASAS DALAM PERLEMBAGAAN

 

Sebelum kita berbincang mengenai kontroversi dengan lebih spesifik ada beberapa perkara asas yang perlu ditangani terlebih dahulu. Ini termasuklah kedudukan Islam dalam perlembagaan, kedudukan mahkamah sivil dan syariah serta isu kebebasan beragama.

 

Meskipun kedudukan Islam sebagai “agama persekutuan” sebagaimana yang disebutkan dalam Perkara 3(1) itu terbatas Islam mempunyai kedudukan yang tinggi atau mengatasi agama-agama lain. Inilah kesimpulan dan gambaran yang tertera apabila kita meneliti peruntukan-peruntukan perlembagaan yang lain seperti Perkara 11(1), 11(4), 12(2) atau 150(6A). Kedudukan istimewa Islam ini tidak melanggar Perkara 8 yang menjamin hak sama rata kerana hak sama rata ini pun sebenarnya tidak mutlak. Selain itu Perkara 8 sendiri – umpamanya melalui fasal (5) – tidak bermaksud menyentuh soal agama. Peruntukan-peruntukan ini memperkukuh kedudukan Islam di dalam kerangka perlembagaan dan ini dengan sendirinya menafikan dakwaan bahawa negara dan perlembagaan kita adalah sekular. Dakwaan sekular juga menentang sifat dan sejarah asal negara ini.

 

Kita juga harus mengingati bahawa negara ini adalah negara persekutuan. Peruntukan mengenai Islam dan mahkamah syariah adalah peruntukan-peruntukan yang sebenarnya turut memanifestasikan semangat federalisme perlembagaan kita. Dari segi sejarah kerangka federalisme ini turut merumahkan imej dan ciri keMelayuan negara kita. Dari sudut demokrasi pula kerangka federalisme ini penting kerana ia adalah merupakan agen semak dan imbang yang paling efektif setelah elemen-elemen lain seperti parlimen, badan kehakiman dan media massa tidak begitu berjaya memainkan peranan penting itu. Akhir-akhir ini pihak yang menentang undang-undang moral dan jenayah syariah dan juga mereka yang menjuarai apa yang mereka dakwa sebagai penindasan atau penafian hak orang bukan Islam sering menyerang kedudukan negeri dan mendakwa negeri-negeri melanggar peruntukan perlembagaan melalui undang-undang yang mereka luluskan. Pihak-pihak ini jelas tidak memahami peruntukan dan semangat federalisme perlembagaan dan negara kita.

 

Kontroversi yang kita hadapi sekarang turut menyeret kedududukan mahkamah sivil. Apa pun komen kita terhadap prestasi dan komitmen mahkamah sivil sebenarnya ia tidak pernah diberi kuasa monopoli. Sebelum pindaan 1988 yang menjelaskan bidang kuasa mahkamah syariah itu pun sebenarnya kedudukan dan mahkamah sivil tidak sama dengan kedudukan mahkamah-mahkamah tertinggi di United Kingdom atau India. Ini kerana negara kita adalah negara persekutuan dan kita mempunyai mahkamah syariah – sesuatu yang tidak wujud di negara-negara tersebut. Kenyataan ini perlu disedari kerana para peguam mempunyai kecenderungan untuk meniru kes-kes dari England dan India secara membabi buta tanpa menyedari kedududukan dan kelainan kita.

 

Jika kita lihat Laporan Suruhanjaya Reid pula adalah jelas bahawa suruhanjaya tersebut menyedari kedudukan mahkamah syariah. Dan mereka tidak mengusik kedudukan itu. Ini dapat kita simpulkan melalui jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan bidangkuasa negeri dan mahkamah syariah. Ini diperkukuhkan lagi dengan kedudukan Peguam Negara yang tidak mempunyai bidangkuasa ke atas mahkamah syariah. Sebelum pindaan dibuat pada 1988 mahkamah sivil tidak menunjukkan sikap yang konsisten terhadap mahkamah syariah: walaupun dalam beberapa kes tertentu mahkamah sivil mengakui kedudukan dan bidangkuasa mahkamah syariah ada kes-kes lain di mana mahkamah sivil merubah keputusan mahkamah syariah. Pindaan 1988 dibuat untuk menghentikan kekeliruan itu. Boleh dikatakan bahawa ia hanyalah sekadar memperjelas kedudukan yang wujud atau bermula sejak 1957 lagi.

 

Sebab itu adalah salah jika ada pihak mengatakan kedudukan mahkamah sivil telah dilemahkan atau digugat oleh mahkamah syariah. Ini tidak timbul kerana seperti yang disebutkan di atas tadi mahkamah sivil tidak mengatasi atau memonopoli kuasa kehakiman di Malaysia. Apatahlagi apabila pada tahun 1988 juga – serentak dengan krisis kehakiman yang menyaksikan pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas – frasa “kuasa kehakiman” dipadamkan dari perlembagaan. Dari satu sudut kita boleh mengatakan ahawa mahkamah sivil sebenarnya semacam berkongsi dengan mahkamah syariah. Atau kita juga boleh mengatakan bahawa mahkamah sivil – meskipun mempunyai kuasa semakan kehakiman – hanya berkuasa dalam bidang-bidang yang tidak diletakkan di bawah kuasa mahkamah syariah. Dari sudut mahkamah syariah pula ia sebenarnya sekadar menangani apa yang terletak di bawah bidang kuasanya: mahkamah syariah tidak mengatasi atau mengancam kedudukan mahkamah sivil.

 

Satu lagi isu yang perlu ditangani ialah soal kebebasan beragama. Isu ini perlu dilihat dalam konteks kebebasan asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Persoalan ini terletak di bawah bidang kuasa mahkamah sivil. Bagaimanapun kita perlu memahami sifat dan ruang-lingkup hak kebebasan beragama terlebih dahulu. Hak yang merangkum hak memilih agama, menganuti, mengamal dan mengembangkannya itu bagaimanapun tidak mutlak Selain Perkara 11(5), Perkara 11(4) umpamanya memberi kebenaran untuk negeri-negeri menyekat penyebaran agama bukan Islam kepada orang-orang Islam. Pendeknya perlembagaan semacam memberi isyarat kepada mahkamah sivil supaya mengambilkira kedudukan Islam dan ini telah pun dilaksanakan oleh para hakim mahkamah sivil dalam beberapa kes tertentu.

 

IV. KONTROVERSI SEMASA: BEBERAPA PERJELASAN

 

Berdasarkan kepada pandangan di atas sifat sekular perlembagaan yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu adalah jelas tidak wujud. Kita sedar bahawa dakwaan ini dikemukakan untuk menafikan kedudukan istimewa Islam di dalam perlembagaan. Sekiranya dakwaan ini benar sekalipun kedudukan Islam dan umat Islam tidak terjejas kerana adanya peruntukan-peruntukan seperti Perkara 11(1). 11(4) dan 12(2). Apa pun agak nyata bahawa dakwaan negara atau perlembagaan sekular itu di ketengahkan untuk menyulitkan kedudukan Islam atau meletakkan Islam sama rata dengan agama-agama lain. Setelah menyedari bahawa mereka menemui jalan buntu pihak berkenaan menyarankan supaya Perkara 11 dimansuhkan.

 

Satu lagi dakwaan yang dibangkitkan mutakhir ini ialah betapa perlembagaan telah “ditulis secara senyap-senyap”. Ini juga tidak benar kerana pindaan 1988 itu diluluskan oleh parlimen – di Dewan Rakyat dan Dewan Negara – dengan undi majoriti dua pertiga. Dan kita jangan lupa bahawa pindaan itu dilakukan setelah pelbagai pihak mengadakan pelbagai seminar dan kertas yang menghujah betapa perlunya kedudukan mahkamah syariah diperkukuhkan. Kita berasa anih kerana rungutan itu muncul selepas hampir dua dekad.

 

Bagaimana dengan kenyataan Perdana Menteri tentang kebebasan beragama? Kenyataan tersebut jelas tidak menyenangkan sesiapa. Yang menarik ia bagaikan boomerang yang memukul tuannya sendiri. Umat Islam tidak senang. Orang-orang bukan Islam juga tidak senang kerana kenyataan itu dianggap kenyataan politik yang tidak memberi penyelesaian jangka panjang. Apa pun seperti yang dipaparkan di atas ruang lingkup hak kebebasan beragama sudah jelas dan ia tidak menindas atau menafikan hak orang bukan Islam. Ini kerana tidak ada siapa yang dipaksa memeluk Islam. Bagaimanapun sesiapa yang menganut Islam perlulah patuh kepada peraturan Islam. Dan ini diterima oleh perlembagaan sebagaimana yang dinyatakan oleh Perkara 8(5) dan Jadual Kesembilan.

 

V. PENUTUP

 

Kontroversi yang berlaku sekarang jelas bukan berpunca dari perlembagaan. Ia adalah masalah yang timbul akibat kekeliruan dan kejahilan tentang perlembagaan. Sebab itu tidak timbul soal meminda peruntukan berkenaan. Orang bukan Islam terlibat kerana hubungan mereka dengan orang Islam; bukan kerana mahkamah syariah menafikan hak mereka. Masalah ini boleh diselesaikan dengan memperbaiki undang-undang atau prosedur yang ada; ia tidak perlu melibatkan pindaan perlembagaan.

 

Kepemimpinan negara memainkan peranan penting dan mereka harus memahami perlembagaan. Ini sangat perlu kerana tuntutan pihak-pihak berkenaan sebenarnya berpunca dari sikap dolak-dalik, tidak jelas dan tidak berprinsip yang mereka tunjukkan. Kepemimpinan negara – dan pihak media – harus jelas dan tidak harus cuba untuk mengambil jalan selamat atau sekadar mengambilkira kepentingan politik semasa. Amat menyedihkan apabila ada menteri kabinet yang secara semberono mengatakan bahawa pada masa akan datang mahkamah sivil perlu diberi kata putus dalam kes-kes yang melibatkan konflik antara kedua-dua mahkamah itu. Ini bukan sahaja salah dari segi perlembagaan malah akan membangkitkan kemarahan pihak yang memang sudah tidak puas hati.

 

Kontroversi ini menunjukkan perlunya pendidikan perlembagaan yang berterusan kerana di dalam negara seperti Malaysia dokumen perlembagaan harus difahami oleh semua pihak. Bagaimanapun kelihatannya masyarakat kita semacam tidak mempunyai persiapan itu sedangkan orang lain begitu prihatin dan peka terhadap kedudukan dan hak mereka di dalam perlembagaan.

  

* Kertas dalam Diskusi Khas I MUAFAKAT - Konflik Bidangkuasa antara Mahkamah Sivl dan Mahkamah Syariah anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) di Pusat Matrikulasi UIAM pada 21 Januari 2006. Sebahagian dari kandungan kertas ini telah dibentangkan dalam Sidang Meja Bulat Mahkamah Syariah: Di mana Bidang Kuasanya? anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat di Anjung Rahmat pada 15 Januari 2006.

 

 

** Profesor Dr ABDUL AZIZ BARI ialah pensyarah di Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau boleh dihubungi pada alamat bariaziz@yahoo.com atau aabari@iiu.edu.my

 

qqçKembali Ke Halaman Utama


© 2006 puteraAlternatif87
e.mail : putera_alternatif87@yahoo.com