Sama-sama kita MEMBANTAH sekeras-kerasnya penubuhan Suruhanjaya Antara Kepercayaan @ Interfaith Commission (IFC)
 

Berita Nasional - 25 Feb 2005
Suruhanjaya Antara Agama bercanggah Perlembagaan

Oleh Shaarani Ismail dan Mohd Faizul Haika Mat Khazi

KUALA BERANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin membidas Majlis Peguam kerana mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IRC) yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, selama ini Perlembagaan dan Islam tidak pernah menghalang mana-mana penganut agama untuk mengamalkan ajaran masing-masing.

“Saya tak bersetuju. Sebagai menteri saya menentang kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di mana Islam menjadi agama rasmi.

“Jika mereka (Majlis Peguam) mahukan wujudkan suruhanjaya antara agama lain itu terserah, tapi jika mahu babitkan Islam... kita tak boleh terima kerana bercanggah,” katanya selepas merasmikan Program Kajian Dalam Komuniti 2005 anjuran Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem) di perkampungan Orang Asli Sungai Berua di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Majlis Peguam membincangkan penubuhan IRC pada persidangan dua hari di Bangi, Selangor, bermula semalam.

Cadangan itu mendapat reaksi negatif pelbagai pertubuhan yang menyifatkannya sebagai mencampuri urusan agama lain serta mengganggu sensitiviti umat Islam.

Abdullah berkata, jika suruhanjaya berkenaan ditubuhkan, bermakna Islam akan terletak di bawah suruhanjaya seperti agama lain dan perkara itu tidak mungkin berlaku sebagaimana yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

“Bagaimanapun, jika ada pihak yang mahukan dialog mengenai Islam diadakan, perkara itu boleh diserahkan kepada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) untuk diuruskan secara profesional dan intelek,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu adalah isu lama yang hanya mahu mencetuskan sensitiviti kepada masyarakat Islam.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal berkaitan Islam, saya tetap mempertahankan bantahan itu,” katanya.

Di KOTA BHARU, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga membantah keras cadangan penubuhan suruhanjaya itu.

Nik Abdul Aziz yang ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan dengan Syarikat Ladang Sungai Terah Sendirian (SLST) Berhad, semalam berkata, cadangan itu adalah taktik halus yang cuba digunakan pihak luar untuk campur tangan secara tidak langsung dalam urusan dan hal ehwal agama Islam.

“Sejak dulu lagi, segala urusan berkaitan Islam diuruskan secara mutlak oleh umat Islam tanpa sebarang bantuan daripada pihak luar.

“Malah sebelum ini, ada pihak tertentu cuba campur tangan dalam urusan hal ehwal agama Islam di Asia Barat tetapi tidak berhasil.

“Pihak terbabit gagal berbuat demikian kerana cadangan mereka mendapat tentangan hebat daripada umat Islam di sana,” katanya.

 

qqçKembali Ke Halaman Utama


© 2006 puteraAlternatif87
e.mail : putera_alternatif87@yahoo.com