Sama-sama kita MEMBANTAH sekeras-kerasnya penubuhan Suruhanjaya Antara Kepercayaan @ Interfaith Commission (IFC)
 
 
Tidak zalimi wanita
NGO diingat jangan perlekeh Undang-Undang Keluarga Islam

 

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan, peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)(Pindaan) 2005 menepati hukum syarak dan tidak menindas atau menzalimi golongan wanita.

Sehubungan itu, beliau mahu supaya kontroversi mengenai akta tersebut dihentikan kerana ia akan menjejaskan martabat dan maruah syariah serta agama Islam itu sendiri.

 

Menurut beliau, Peguam Negara sedang berunding dengan pelbagai pihak bagi meminda beberapa peruntukan dalam akta itu agar ia lebih jelas serta tiada lagi kekaburan dan silap faham.

 

Shahrizat turut memberi amaran keras kepada kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu supaya tidak memperlekehkan kesucian undang-undang syariah di negara ini dengan memberi gambaran kononnya akta itu zalim.

 

Dengan nada tegas beliau berkata:

 

``Fikiran wanita Malaysia jangan diracun, kononnya undang-undang ini akan mengaibkan maruah mereka, merompak harta benda mereka serta menghalang hak-hak mereka.''

 

Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sama sekali tidak akan bertolak ansur dan membenarkan mana-mana undang-undang yang menindas kaum wanita dan kanak-kanak di negara ini.

 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas yang berlangsung kira-kira dua jam di pejabatnya bagi menjelaskan kontroversi mengenai akta itu selepas ia diluluskan oleh Parlimen, 22 Disember lalu.

 

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut hadir bagi menjelaskan isu-isu teknikal berkaitan undang-undang tersebut.

 

Menurut Shahrizat, kontroversi yang ditimbulkan oleh kumpulan NGO wanita itu berbangkit daripada silap faham mengenai peruntukan akta berkenaan.

 

``Kebanyakan masalah yang dibangkitkan berkaitan dengan pentafsiran yang tidak tepat dan pelaksanaan undang-undang keluarga Islam oleh Mahkamah Syariah,'' katanya.

 

Kontroversi mengenai undang-undang tersebut yang timbul ketika sesi perbahasan di Dewan Negara dan selepas ia diluluskan oleh Parlimen turut menarik perhatian Perdana Menteri.

 

Beliau mahu isu tersebut diselesaikan oleh Peguam Negara dengan mendapat maklum balas NGO serta pelbagai pihak lagi ke arah penambahbaikan undang-undang tersebut.

 

Menurut Shahrizat, proses membuat pindaan tetap dilaksanakan walaupun akta itu diwartakan baru-baru ini.

 

Undang-undang yang digubal hasil input pelbagai pihak termasuk ulama, hakim syarie, wakil-wakil NGO, pensyarah dan penyelidik itu adalah sejajar dengan undang-undang syariah dan bukannya mewakili kumpulan tertentu.

 

Katanya, ia bertujuan menyeragamkan serta menyelaras Undang-Undang Keluarga Islam seluruh Malaysia dengan niat untuk melindungi dan memelihara kepentingan kaum wanita.

 

Jelas beliau, pindaan-pindaan tersebut tertumpu kepada kawalan berpoligami, pembahagian harta sepencarian, pembayaran nafkah dan mempertingkatkan mutu pentadbiran Mahkamah Syariah.

 

``Malangnya niat kerajaan telah dipertikaikan dan disalahtafsirkan sehingga ramai wanita rasa takut dan cemas kerana menyangka undang-undang ini akan menzalimi dan mencabuli hak-hak dan kepentingan mereka,'' katanya.

 

Katanya, jika akta yang dirangka oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan mengambil kira pandangan ulama dikatakan zalim ia sama seperti mereka tidak mempercayai undang-undang syariah.

 

Secara dasarnya, menurut Shahrizat, akta tersebut telah memanfaatkan kaum wanita walaupun terdapat satu kes harta sepencarian di Johor yang dikatakan tidak melindungi hak wanita.

 

Ditanya kemungkinan kontroversi itu berpunca daripada kegagalan pihak kementerian memberi penjelasan kepada orang awam mengenai akta itu, Shahrizat berkata, undang-undang tersebut terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.

 

Katanya, akta yang belum dikuatkuasakan itu akan dibentangkan semula bersama pindaan-pindaan yang dikemas kini selepas kajian lengkap mengenainya selesai tidak lama lagi.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 10 FEBRUARI 2006

 

qqKembali Ke Halaman Utama


2006 puteraAlternatif87
e.mail : putera_alternatif87@yahoo.com